Monday, January 11

Selidik sebelum melabur !!!

Setiap pelaburan tidak akan menjamin sebarang pulangan tetap berikutan ia tidak dapat dijangka kerana bergantung kepada keuntungan tahunan syarikat selepas akaun ditutup.


Ketua Eksekutif Pusat Khidmat Aduan Nasional, Muhammad Sha'ani Abdullah, berkata pulangan yang dijanjikan sebanyak 50 peratus itu terlalu tinggi dan pengguna seharusnya membuat penyelidikan terlebih dahulu bagi mengelak ditipu, malah hakikatnya, jika terdapat syarikat menjanjikan pulangan lingkungan belasan sehingga puluhan peratus, mereka tidak patut mempercayainya.

Beliau mengulas laporan Metro Ahad kelmarin mengenai pengguna mendakwa ditipu artis untuk menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan 50 peratus dalam tempoh kurang tiga bulan berdasarkan jumlah dilaburkan.

Artis terbabit yang dikenali mangsa sejak dua tahun lalu itu berjanji membantu menampung kerugian ditanggungnya akibat tertipu dengan skim pelaburan berasaskan saham syarikat rokok antarabangsa sebelum ini, sehubungan itu dia turut terpedaya dengan kedudukan serta perwatakan baik artis berkenaan hingga sanggup mengeluarkan wang lebih RM100,000.

Bagaimanapun apabila mangsa cuba menunaikan cek imbuhan daripada syarikat artis berkenaan, pihak bank memberitahu tarikh cek tidak matang, ia tidak boleh ditunaikan dan tiada wang dalam akaun syarikat itu.

Masalah berkenaan turut dialami pelabur lain justeru satu perjumpaan diadakan pada penghujung 2008 dan mereka diberitahu supaya menunggu untuk mendapat pulangan, namun selepas itu, artis terbabit langsung tidak dapat dihubungi.

Mangsa yang menyedari dirinya tertipu membuat laporan polis bersama mangsa lain.

Kata Muhammad Sha'ani, pengguna tidak boleh tergesa-gesa mempercayai syarikat yang menjanjikan pulangan tinggi kerana mereka perlu mengambil masa untuk membuat siasatan sebelum menyerahkan wang pelaburan.

"Jika tidak pasti sama ada syarikat itu berlesen atau tidak, pengguna boleh merujuk dengan Bank Negara Malaysia bagi melindungi hak mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Antaranya syarikat yang disenaraikan adalah bank, ejen saham dan pengurup wang.

Katanya, syarikat tidak mempunyai lesen tidak dapat jaminan daripada Bank Negara dan kerajaan kecuali wang itu dikembalikan namun kemungkinan mengambil tempoh lama, malah pulangan itu bukanlah sepenuhnya.

Muhammad Sha'ani berkata, pengguna boleh mengenal pasti syarikat tidak berlesen apabila syarikat itu gagal menyediakan dokumen dan polisi berkaitan dengan pelaburan terbabit.




0 comments: