Friday, March 12

KWSP umum beri dividen 5.65%...

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengumumkan pemberian dividen 5.65 peratus bagi tahun lalu, lebih tinggi daripada 4.50 peratus yang dibayar pada 2008. Kadar dividen tinggi itu berikutan perolehan pendapatan bersih tertinggi berjumlah RM19.63 bilion hasil daripada pelaburannya dalam pelbagai kelas aset sepanjang tahun lalu.

Pendapatan bersih KWSP tahun lalu meningkat 34.82 peratus daripada RM14.56 bilion pada 2008, manakala kadar dividen bagi 2009 meningkat ketara sebanyak 1.15 mata asas berbanding kadar 4.50 peratus pada 2008.

Pengerusi Lembaga KWSP, Tan Sri Samsudin Osman, berkata walaupun KWSP terus berdepan dengan persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan tahun lalu, pelaburannya berupaya memberikan prestasi yang kukuh.

"2009 adalah tahun yang penting bagi KWSP kerana berjaya keluar daripada krisis kewangan global," katanya.

Mengulas mengenai portfolio pelaburan KWSP tahun lalu, Samsudin berkata sebanyak 72.53 peratus daripada jumlah pelaburan dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap sejajar dengan pendekatan pelaburan berhemah KWSP.

"Setakat 31 Disember lalu, portfolio pelaburan KWSP meningkat 8.55 peratus atau RM29.25 bilion kepada RM371.26 bilion berbanding RM342.01 bilion pada 2008," katanya.

Samsudin berkata, tahun lalu, KWSP memerlukan RM3.43 bilion bagi membayar satu peratus dividen berikutan pertambahan jumlah ahlinya, meningkat 7.86 peratus berbanding RM3.18 bilion yang diperlukan bagi membayar satu peratus dividen pada 2008.

Beliau berkata, ahli boleh menyemak dividen 2009 yang dikreditkan ke dalam akaun mereka mulai Isnin ini.

Mengulas mengenai prospek tahun ini, Samsudin berkata, ia bergantung kepada prestasi ekonomi negara dan global.

"Buat masa ini, keadaan pasaran kewangan global masih tidak stabil dan boleh memberikan kesan kepada nilai pelaburan dan pendapatan masa depan KWSP.

"Bagaimanapun, KWSP akan terus memberikan tumpuan kepada matlamat utamanya iaitu melindungi simpanan ahli dan memberikan pulangan munasabah," katanya.

1 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.